Saturday, December 10, 2011

Kurikulum Pendidikan Islam

http://kulanzsalleh.com/wp-content/uploads/2009/06/kurikulum-pendidikan-islam.jpg
Kurikulum Pendidikan yang patut diberikan kepada anak-anak orang Islam bagi mencapai matlamat untuk melahirkan insan soleh dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek yang dapat memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Pendahuluan
Pendidikan membawa pengertian yang cukup luas. Ia meliputi hampir kesemua bidang aktiviti manusia daripada yang paling kecil seperti menjala ikan untuk dijadikan lauk hingga kepada aktiviti yang lebih kompleks seperti berfikir dalam bentuk individual ataupun secara kolektif. Boleh dikatakan, ia mencakupi bidang-bidang yang sama luasnya dengan tamadun sesuatu bangsa itu sendiri. Ini termasuklah bidang-bidang seperti falsafah, kesusasteraan, matematik, sains dan teknologi, pertukangan, ekonomi, agama, dan lain-lain. Jadi persoalannya, bagaimanakah sesuatu pendidikan itu mampu mencapai hasrat untuk melahirkan individu yang dapat menyumbang ke arah kemajuan diri, masyarakat dan negara
Jawapannya adalah bergantung kepada isi kandungan kurikulum suatu mata pelajaran. Kandungan Kurikulum menentukan sama ada suatu mata pelajaran itu mampu mendidik individu untuk menjadi seseorang yang bukan sahaja dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehinya untuk kegunaan sendiri, malah dapat digunakan sebaiknya untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.
Memandangkan betapa pentingnya kandungan kurikulum itu sendiri, maka pakar-pakar pendidikan telah menyediakan mata pelajaran-mata pelajaran yang difikirkan mempunyai kepentingan kepada masyarakat masing-masing. Jadi dalam konteks Malaysia, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) telah diperkenalkan. Dalam kurikulum ini, pendidikan agama (Islam) dan moral adalah dititikberatkan dan menjadi teras kepada mata pelajaran yang lain untuk memastikan matlamat pendidikan negara yang digariskan melalui Falsafah Pendidikan Negara dapat dicapai.
Jadi dalam perbincangan ini, kita cuba mengupas bagaimana rupa bentuk kurikulum yang perlu dimasukkan dalam pendidikan Islam agar anak-anak Islam dapat dibentuk sebagai seorang individu yang soleh melalui penerapan nilai-nilai intelek, rohani, jasmani dan emosi yang seimbang agar mereka ini nanti mampu memikul tanggungjawab yang dituntut dalam ajaran Islam.
Tujuan Pendidikan Islam
Sebelum kita meneroka lebih jauh tentang isi kandungan kurikulum dalam pendidikan Islam, adalah lebih elok jika kita membincangkan tujuan-tujuan diwujudkan pendidikan Islam. Ini kerana, kurikulum dan tujuan pendidikan tidak boleh dipisahkan dan saling mempunyai wasilah di antara satu sama lain. Kurikulum pendidikan perlu dibentuk berdasarkan tujuan pendidikan itu sendiri. Dalam erti kata lain, kurikulum pendidikan digubal berdasarkan tujuan-tujuan tersebut. Oleh itu, untuk menjelaskan tentang tujuan pendidikan Islam, kita tinjau terlebih dahulu secara ringkas pendapat-pendapat beberapa tokoh yang berkaitan.
Kebanyakan tokoh menggariskan bahawa pendidikan sebenarnya bukanlah sekadar untuk memenuhi bidang pekerjaan tetapi fungsi utamanya ialah untuk mempelajari seberapa banyak ilmu pengetahuan mengajar manusia mengenali diri, penciptanya dan alam ini. Al-Jammali (1966:82) menyenaraikan tujuan pendidikan Islam dengan berdasarkan kepada kandungan al-Quran seperti berikut:
  1. Memperkenalkan kepada manusia akan kedudukannya di antara sekalian makhluk dan tanggungjawab individu dalam alam ini.
  2. Memperkenalkan kepada manusia akan hubungan-hubungan sosialnya dan tanggungjawabnya dalam rangka suatu sistem sosial.
  3. Memperkenalkan kepada manusia akan makhluk (alam jagat), dan mengajaknya memahami hikmah penciptaannya.
  4. Memerkenalkan kepada manusia akan Pencipta alam jagat ini.
Ibnu Khaldun pula membahagikan tujuan pendidikan itu kepada tujuh, iaitu:
  1. Mempersiapkan seseorang dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama melalui al-Quran dan al-Sunnah. Dengan jalan itu potensi iman dapat dikuatkan.
  2. Memperlengkapkan akhlak manusia.
  3. Memperlengkapkan sosial manusia.
  4. Memperlengkapkan manusia dengan asas latihan vokasional atau pekerjaan.
  5. Mempertingkatkan daya pemikiran seseorang kerana dengan pemikiran seseorang itu dapat membuat berbagai pekerjaan dan pertukangan atau vokasional tertentu.
  6. Membekalkan seseorang dengan kemahiran kesenian, termasuk muzik, syair, khat, senibina dan lain-lain.
Hasan Langgulung pula menyatakan bahawa terdapat tiga tujuan utama pendidikan Islam, iaitu; Pertama, untuk menentukan haluan bagi proses pendidikan, iaitu ke arah manakah tujuan usaha manusia mendidik generasi muda, atau apakah corak manusia yang dihasilkan melalui pendidikan. Kedua, untuk merangsang dan mendorong manusia bekerja bersungguh-sunggguh bagi mencapai nilai-nilai murni dalam kehidupan. Ketiga, untuk menjadi kriteria dalam menilai proses pendidikan, iaitu menilai pencapaian pendidikan itu, sama ada berjaya atau tidak. Di samping itu, beliau juga membahagikan tujuan pendidikan Islam tersebut kepada dua bahagian utama, iaitu tujuan khas dan tujuan am.

Demikianlah pendapat mengenai tujuan pendidikan Islam yang diutarakan oleh beberapa tokoh Islam dan pakar-pakar pendidikan. Jadi, daripada pendapat-pendapat yang diutarakan di atas, dapatlah saya rumuskan bahawa tugas am pendidikan Islam sebenarnya adalah bertujuan untuk menjalankan fungsi yang sememangnya bersifat normatif. Ia memerlukan perubahan positif terhadap tingkah laku seseorang hasil daripada apa yang telah dipelajari. Tujuan khusus pendidikan Islam pula adalah untuk mengingatkan manusia bahawa alam ini dicipta oleh Allah S.W.T. Oleh itu setiap apa yang dilakukan oleh manusia mestilah ikhlas keranaNya. Hanya dengan mempelajari Islam, manusia akan dapat mencapai kesejahteraan dalam hidup.
Namun perlu dijelaskan di sini, dalam konteks pendidikan Islam, ajaran yang disampaikan bukan hanya menjurus kepada tujuan akhirat semata-mata, tetapi individu muslim juga perlu mempelajari pelbagai ilmu yang akan dapat memperkembangkan potensi mereka sama ada dari segi intelektual, spiritual, jasmani mahupun emosi. Hanya dengan ilmu ini sahajalah umat muslim dapat memperlengkapkan diri untuk memastikan kesejahteraan hidup semasa berada di dunia dan seterusnya mempersiapkan diri bagi memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.
Kandungan Kurikulum Pendidikan Islam
Sekolah bukan sekadar tempat untuk menyediakan pelajar-pelajar yang bakal mengisi kekosongan sesuatu pekerjaan yang khusus sebaliknya ia merupakan satu tempat yang berfungsi untuk memberikan didikan yang sempuna dan lengkap yang dapat menjamin dan membolehkan mereka menyumbang kepada kemajuan diri dan masyarakat. Oleh itu kurikulum pendidikan Islam mestilah mempunyai wasilah yang dapat memfokuskan kepada proses memperkembangkan potensi individu daripada pelbagai sudut.
Sebenarnya sistem pendidikan di Malaysia sememangnya berteraskan kepada ajaran agama untuk melahirkan individu-individu yang celik akal dan seimbang dari semua segi. Ini termasuklah dari sudut rohani, jasmani dan juga emosi. Hal ini telah dijelaskan dalam Falsafah Pendidikan negara, iaitu:
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Falsafah Pendidikan di atas telah menjelaskan bahawa perkembangan potensi individu yang ditekankan mestilah berlandaskan kepada kepercayaan kepada Tuhan. Ini bermakna, aspek agama amat dipentingkan dan diutamakan seiring dengan perkembangan tersebut.
Seterusnya, untuk membincangkan dengan lebih jelas tentang kandungan kurikulum pendidikan yang harus diajarkan kepada anak-anak Islam, adalah lebih baik sekiranya diperincikan satu-persatu tentang aspek kurikulum berkenaan. Ianya terdiri daripada:
  • Intelektual atau pengetahuan.
  • Aspek kerohanian.
  • Aspek jasmani
  • Aspek emosi
  • Kepimpinan
  • Ekonomi
i. Intelektual atau Pengetahuan
Apabila kita membincangkan kandungan atau kurikulum pendidikan Islam, kita perlu melibatkan perbincangan mengenai ilmu pengetahuan yang terkandung dalam pengajaran itu. Persoalan setakat mana pengetahuan itu dapat membantu anak-anak Islam menjadi seorang yang soleh adalah bergantung kepada sejauh mana tingkat pengetahuan tersebut atau bagaimana pengetahuan tersebut disampaikan.
Bagi menjamin anak-anak Islam mendapat pengetahuan yang sewajarnya, kurikulum Pendidikan Islam mestilah bersifat mantiq (logik) serta dapat memperkembangkan pemikiran seseorang. Pengetahuan yang disampaikan secara mantiq akan menjamin keupayaan seseorang untuk berfikir dan menggunakan ilmu yang mereka perolehi ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. Hal ini telah dijelaskan oleh ahli-ahli falsafah Islam sejak zaman dahulu lagi bahawa mereka amat mementingkan dan mewajibkan ilmu mantiq dalam semua institusi pendidikan Islam, walaupun ilmu mantiq itu sendiri berasal dari Yunani, iaitu ciptaan Aristoteles. Paling penting, pengetahuan yang diperolehi bukan sekadar untuk difahami oleh anak-anak Islam tetapi juga perlu digunakan dan diaplikasikan dalam bidang-bidang tertentu. Dengan itu ilmu yang mereka perolehi tidak sia-sia. Di samping dapat meningkatkan dan memartabatkan diri dengan ilmu pengetahuan yang tinggi, mereka boleh menceburkan diri dalam bidang pekerjaan.
Namun, paling utama ilmu yang diajar itu biarlah mengandungi pengetahuan terhadap Allah S.W.T. Ini akan menjamin kesempurnaan ilmu seseorang itu yang akan menjadikannya seorang yang berakhlak tinggi serta insan yang soleh. Ahli-ahli falsafah Islam juga amat bersetuju bahawa objek pengetahuan yang paling tinggi dan mulia adalah pengetahuan terhadap Allah S.W.T.:
“Islam menganggap Allah S.W.T. sebagai tumpuan tertinggi pengetahuan, objek hakiki dan manusia patut menumpukan pengetahuannya kepadaNya menerusi akal dan fikirannya”.
Diringkaskan di sini, ilmu pengetahuan yang perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah mestilah mengandungi ilmu akhirat dan ilmu duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini mempunyai perhubungan di antara satu sama lain. Umat Islam perlu mendapatkan kedua-dua ilmu ini bagi memperlengkapkan diri menuju kepada tingkat ilmu yang tertinggi.

ii. Aspek Kerohanian
Dalam konteks pendidikan Islam, pengajaran berkait rapat dengan konsep fitrah. Kanak-kanak yang lahir adalah mempunyai fitrah yang suci dan baik. Unsur-unsur luar sama ada yang baik atau buruklah yang akan mempengaruhi fitrah kanak-kanak. Jadi adalah amat perlu kanak-kanak diajar dengan unsur-unsur yang dapat mengekalkan fitrah mereka sebagaimana yang dibekalkan kepada mereka sejak lahir. Cara untuk mengekalkan kejadian fitrah tersebut adalah dengan memperkembangkan potensi semula jadi mereka berlandaskan ajaran Islam dan membersihkan hati atau rohani mereka yang juga disebut sebagai spiritual. Ini kerana menurut pandangan Islam, kebersihan rohani adalah ciri terpenting yang perlu ada pada setiap umatnya. Jadi, aspek kerohanian juga perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan Islam. Aspek ini akan menjamin kebersihan rohani dan menyucikan jiwa anak-anak Islam daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan akhlak mereka seterusnya dapat menjamin bahawa asosiasi yang bakal dilahirkan nanti menjadi insan yang soleh.
Bagi memastikan aspek kerohanian dapat diperkembangkan melalui Kurkulum Pendidikan Islam, pengetahuan seperti tauhid, aqidah, pengetahuan tentang perkara-perkara yang halal dan haram, hukum-hukum syariah Islam, pengetahuan tentang aspek kerohanian dan kehidupan serta pengetahuan tentang realiti alam ini mestilah diajarkan kepada mereka. Aspek ini akan dapat memandu anak-anak Islam untuk memahami tentang kejadian alam ini, penciptanya, memahami diri mereka serta melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul.
iii. Aspek Jasmani
Ahli falsafah barat ada mengatakan “Don’t judge a book by it’s cover”. Falsafah ini menerangkan bahawa kita tidak boleh menilai seseorang itu hanya dari segi luaran sahaja, tetapi perlu melihat dari dalam, barulah membuat kesimpulan. Namun dalam konteks ajaran Islam, faktor luaran dan dalaman mempunyai hubungan di antara satu sama lain. Islam bukan sahaja menilai dari segi ilmu pengetahuan yang dimiliki seseorang tetapi juga mementingkan kebersihan diri dan kesihatan fizikal, iaitu aspek luaran. Aspek jasmani perlu seiring dengan ilmu yang dimiliki kerana ia akan mencerminkan keperibadian seseorang. Oleh itu amat perlu agar anak-anak Islam turut diajar tentang cara untuk menjaga kesihatan fizikal atau jasmani.
Sewajarnya kurikulum di sekolah, mengandungi pendidikan khas untuk memelihara kesihatan fizikal atau jasmani murid-murid. Aspek ini bukan sahaja boleh disampaikan melalui mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan tetapi juga melalui Pendidikan Agama Islam. Penjagaan kesihatan perlu ditekankan dalam pendidikan Islam agar anak-anak Islam berpeluang mempelajari dan mengamalkan pengetahuan yang boleh memperkembangkan lagi potensi mereka dari pelbagai sudut. Sekiranya anak-anak Islam mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, bersih dari segi fizikal dan spiritualnya, maka barulah dikatakan dia telah dilengkapi dengan sifat-sifat insan yang soleh dan berkembang secara seimbang serta harmonis dalam pelbagai aspek sebagaimana yang telah digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
iv. Aspek Emosi
Emosi berkait rapat dengan mental dan kebolehan seseorang mengawal perasaan dalam semua tindak-tanduknya. Seseorang yang mampu mengawal emosinya akan juga dapat menjaga tingkah-lakunya. Manakala akal pula menjalankan tugasnya sebagai pengawal kepada emosinya. Sekiranya seseorang mampu menjaga akalnya, maka dia juga akan mampu mengawal emosinya.
Akal merupakan salah satu punca pengetahuan selain daripada deria dan intuisi. Sekiranya asosiasi yang hendak dididik itu mempunyai tahap kewarasan akal yang baik, maka mereka akan mampu mencapai tahap ilmu pengetahuan yang tertinggi serta dapat menggunakan pengetahuan tersebut dengan sebaik mungkin. Mengikut ahli-ahli falsafah Islam, selain mempunyai fungsi tersendiri, akal juga mempunyai beberapa kelebihan. Di antara kelebihan akal ialah, akal diibaratkan sebagai cahaya yang menerangi manusia di dalam gelap gelita yang menunjuknya pada kebenaran. Akallah yang mengajar manusia mengambil kesimpulan yang benar berdasarkan pengalaman yang lampau, yang memungkinkan manusia menilai pemikiran sendiri dan membezakan antara ilmu yang betul dengan khayalan kosong.
Huraian di atas menunjukkan betapa pentingnya manusia mengawal emosi dengan menggunakan akal yang waras. Hanya dengan memiliki emosi yang baik sahaja seseorang itu dapat memimpin diri dan seterusnya memanfaatkan ilmu yang diperolehinya untuk kesejahteraan masyarakat dan negara. Oleh itu, untuk menjamin anak-anak Islam berkembang dengan sifat-sifat yang sempurna, pendidikan yang menjurus kepada cara untuk memelihara emosi yang baik perlu ada dalam kurikulum yang diajarkan. Sebagai contoh mengajar mereka membentuk jati diri melalui penerapan nilai-nilai murni yang boleh diajarkan sama ada secara formal atau informal. Penekanan terhadap nilai-nilai murni dalam pendidikan di sekolah mampu melahirkan seorang individu yang mempunyai mental yang sihat.
v. Aspek Kepimpinan
Selain daripada usaha untuk memperkembangkan potensi murid-murid dari segi JERI (jasmani, emosi, rohani dan intelek), ciri-ciri kepimpinan juga amat perlu diajar kepada mereka. Aspek ini akan mengukuhkan lagi potensi dan perkembangan mereka dari segi yang disebutkan di atas.
Kandungan kurikulum perlu memasukkan elemen-elemen sejarah yang dapat menjelaskan tentang sifat-sifat kepimpinan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin agung Islam pada masa dahulu. Berdasarkan pembelajaran tersebut anak-anak Islam yang hendak kita bentuk ini akan lahir sebagai seorang yang mempunyai kemahiran memimpin dan mewarisi sifat-sifat kepimpinan. Dengan itu juga mereka pastinya dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
vi. Ekonomi
Meskipun kebanyakan tokoh-tokoh pendidikan berpendapat bahawa tujuan utama pendidikan di sekolah sebagaimana yang disebutkan di awal perbincangan ini bukanlah menjurus kepada memenuhi sesuatu bidang pekerjaan semata-mata, namun adalah perlu juga agar anak-anak Islam diajar dan diperkenalkan tentang sistem ekonomi, khususnya ekonomi Islam. Ini kerana kebolehan invididu untuk memikul tanggungjawabnya bagi memenuhi tuntutan agama juga mempunyai hubungan dengan bidang ekonomi. Perkembangan potensi dari segi JERI sahaja tidak mamadai untuk mereka. Tanpa ekonomi yang baik, individu berkenaan tidak akan mampu memikul tanggungjawab mereka atau menghadapi kehidupan di dunia globalisasi ini.
Ajaran Islam itu juga adalah berbentuk syumul. Maknanya, bukan sahaja ilmu pengetahuan akhirat yang perlu diambil kira, tetapi persediaan dan keperluan manusia semasa di dunia juga perlu dijaga. Salah satunya ialah bidang ekonomi yang akan menjana kehidupan seharian mereka. Oleh itu mereka perlu dididik dengan sempurna dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran agar mereka yang bakal lahir nanti merupakan insan yang soleh dan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
Penutup
Sekolah atau persekolahan merupakan sebuah institusi yang diwujudkan dengan tujuan melahirkan individu-individu berguna, berwibawa serta dapat mencapai apa yang dikehendaki. Dalam konteks pendidikan Islam, berguna yang dimaksudkan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat, bangsa, agama mahupun negara. Berwibawa pula membawa pengertian seeorang itu mampu memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan, sama ada tanggungjawab itu diberikan oleh orang lain mahupun diperintahkan oleh Allah S.W.T. Dengan adanya ciri-ciri tersebut, insya Allah anak-anak Islam akan menjadi seorang berkebolehan dari semua segi.
Berdasarkan daripada perbincangan-perbincangan yang telah dibuat sebelum ini, maka dapatlah dirumuskan bahawa pendidikan kepada anak-anak Islam perlu merangkumi aspek-aspek berikut:
  1. Pendidikan akal dan persiapan fikiran. Allah menyuruh manusia merenungi kejadian langit dan bumi agar manusia beriman kepadaNya.
  2. Mengembangkan potensi dan bakat semula jadi kanak-kanak. Islam adalah agama fitrah. Ajarannya tidak terasing daripada tabiat semulajadi manusia, bahkan ia sesuai dengan fitrah kejadian manusia; tidak ada kerumitan atau perkara luar biasa.
  3. Memberi kekuatan dan potensi generasi muda dan mendidik mereka sebaik-baiknya, sama ada lelaki ataupun perempuan.
  4. Berusaha untuk menyeimbangkan segala potensi dan bakat manusia.
Justeru, untuk melahirkan insan yang soleh dan seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi, individu-individu khususnya anak-anak Islam perlu diajar dengan kurikulum yang sesuai dan dapat memenuhi tuntutan agama kita agar mereka ini akan lahir sebagai seorang insan mukmin yang dapat memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga masyarakat, negara dan paling penting untuk agama. Oleh demikian, adalah diharapkan agar orang muslim, khususnya murid-murid mengambil peluang yang ada untuk mempelajari ilmu yang disampaikan kerana ilmu itu adalah sunnah dan ajaran Rasulullah, sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Apa yang di bawa oleh rasul hendaklah kamu mengikutinya, sedang yang dilarang, hendaklah kamu menjauhinya”.
(al-Hasyr:7)
Adalah diharapkan dengan adanya kandungan kurikulum pendidikan yang baik, matlamat untuk melahirkan insan mukmin yang soleh akan terlaksana.

Wednesday, December 7, 2011

hormatilah gurumu

Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.
- Artikel iluvislam.com

Peluang murid miskin, luar bandar ke SBP

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) menggubal syarat baru kemasukan murid Tingkatan 1 ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi keluarga miskin dan luar bandar bagi tahun 2012 sebagai usaha membantu mereka memperoleh pendidikan sempurna.
Sehubungan itu, murid daripada keluarga miskin yang memperoleh kelayakan minimum 3A 2B dan murid luar bandar (4A 1B) layak memohon dan dipertimbangkan kemasukan ke sekolah berkenaan.
KPM dalam kenyataannya menyatakan perubahan syarat kemasukan kepada golongan berkenaan boleh membantu mereka mendapat pembelajaran lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke sekolah itu.
Menurut kenyataan itu, matlamat utama adalah supaya murid berkenaan mendapat kelulusan pada peringkat tertinggi dan mampu merubah taraf hidup keluarga mereka ke arah kehidupan yang lebih berkualiti.
sumber maklumat : Berita Harian

Gaji SBPA 2012. Pekeliling Baru Bulan Disember Ini!!

gaji-sbpa-2012
Pekeliling Gaji SBPA 2012 baru akan keluar tidak lama sahaja lagi disebabkan Rang Undang- Undang Pembekalan 2012 telah pun diluluskan di Dewan Rakyat pada 23/11/2011 jam 10:33 malam yang lalu. Dan….antara perkongsian maklumat yang diterima setakat ini berkenaan dengan dengan sistem gaji SBPA baru 2012 ialah :

1) Skim Gaji SBPA 2012 Baru: “Exit Policy”

Mana-mana kakitangan kerajaan yang dinilai tidak mampu menjalankan tugas secara fizikal dan mental, akan disarankan supaya berhenti. Manakala kepada kakitangan kerajaan yang cemerlang tetapi disebabkan tiada promotion jawatan dalam organisasi tersebut, anda dinasihatkan supaya bersara dengan berbekalkan PERKS yang lumayan.
Walaubagaimanapun, kepada sesiapa yang berada dalam pengurusan premier dijangka agak kurang selamat. Pencapaian mereka ini akan diukur berdasarkan outcome & kesan, bukan lagi output seperti yang sebelumnya.

2) Skim Gaji SBPA 2012 Baru: Pengredan Semula Jawatan

Akan wujud pelbagai lapisan gred seperti berikut (secara kasar) :
  • Premier
  • Jusa
  • Pengurusan Tinggi
  • Pengurusan dan Profesional
  • Pelaksana
Kalau diikutkan gred Premier dan Pelaksana adalah merupakan gred baru yg diwujudkan bagi mewujudkan kategori penjawat awam yang telah digred semula mengikut keperluan organisasi.
Maksudnya kalau ambil gred bawah sekali iaitu Pelaksana, seseorang yang sekarang ini hanya bertugas sebagai pemandu, kenalah ada multiskill, mampu buat kerja tambahan yang lain seperti jadi tukang bancuh kopi, tukang photostat, tukang taip, tukang angkat telepon dan lain-lain lepas ini.

3) Skim Gaji Baru SBPA 2012. Penilaian Markah Penjawat Awam

Bagi sistem gaji SBPA yang baru ini, markah penilaian akan menentukan kenaikan gaji penjawat awam. Secara kasar akan dinilai seperti berikut :
  • Markah 95% keatas – kenaikan gaji adalah 15 %
  • Markah 85%-95% – kenaikan gaji adalah 8%
  • Markah 75 % – tiada kenaikan
  • Markah 70 % – disyorkan tamat perkhidmatan

4) Jadual Gaji SBPA 2012 Baru  : Sistem Gaji Baru

Mengikut formula yang digunakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas menjalankan kajian, secara kasarnya, gaji penjawat awam bermula daripada jawatan KSN adalah seperti berikut :

Sejarah Pendidikan di Malaysia

Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 - Zaman Pengukuhan
  • Pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan
  • Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama
  • Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia
  • Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua
Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 - Zaman Kemaskini
  • Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
  • Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini
  • Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
  • Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
  • Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
  • Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan
Ciri-ciri Laporan Kabinet 1979
  • Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
  • Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini
  • Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
  • Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
  • Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
  • Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan
Rang Undang Undang Pendidikan 1995
Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara.
  • Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan
  • Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5-7 tahun
  • Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan
  • Pendidikan teknik & politeknik dipertingkatkan
  • Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta


Sistem Pendidikan Kebangsaan di peringkat sekolah di bawah Kategori Institusi Pendidikan Kerajaan terdiri daripada:-

(a) Pendidikan Prasekolah
  • Program pendidikan bagi murid yang berumur dari empat hingga enam tahun;
 (b) Pendidikan Rendah
  • Kursus pengajian pada peringkat rendah yang direncanakan bagi tempoh enam tahun tetapi   yang  boleh tamat diikuti dalam tempoh antara lima hinggah tujuh tahun;
  • Ia terdiri daripada Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Jenis Kebangsaan;
 (c) Pendidikan Menengah
  • Pendidikan yang terdiri daripada pendidikan Menengah Rendah dan Menengah Atas;
  • Pendidikan Menengah yang diadakan terdiri daripada
            o    Sekolah Akademik
            o    Sekolah Teknik dan Vokasional
            o    Sekolah Kebangsaan Agama
(d) Pendidikan Lepas Menengah
  • Pendidikan yang disediakan untuk seseorang yang sudah tamat mengikuti pendidikan menengah rendah dan menengah atas, tetapi tidak termasuk pendidikan tinggi.
  • Persekolahan di bawah Kategori Institusi Pendidikan Bantuan Kerajaan pula adalah bagi Sekolah Berasrama Penuh yang ditanggungjawabkan kepada Unit Sekolah Berasrama Penuh Bahagian Sekolah.
  • Institusi pendidikan lain di peringkat persekolahan yang ditubuhkan adalah :-
          o    Sekolah Pendidikan Khas yang ditanggungjawabkan  kepada Jabatan Pendidikan Khas.
          o    Sekolah Sukan yang ditanggungjawabkan kepada Bahagian Sukan.
Falsafah Pendidikan Negara
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

MBMMBI: Ganti PPSMI mulai 2012

Dasar ini akan mula di gunapakai mulai 2011. Ia menggantikan dasar PPSMI yang telah di hentikan kerajaan.
Persiapan untuk melaksanakan dasar ini di buat dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti.
Enam Jawatankuasa Kecil telah di bentuk sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan;
  1. Aspek latihan guru,
  2. Kurikulum,
  3. Penyediaan buku teks,
  4. Lojistik,
  5. Personal dan penerangan.
Apakah Rasionalnya dasar ini di perkenalkan?.
Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah melalui PPSMI  menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut.
Penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an.
Kebanyakkan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu.
Pelaksanaan
• Bermula dengan Tahun Satu 2011, Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat. Pada masa yang sama juga  Bahasa Cina akan  digunakan di SJKC manakala Bahasa Tamil di SJKT
•  Perubahan tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi
•  Perubahan sepenuhnya mengambil masa selama 3 tahun
•  Bermula pada tahun 2012
•  Peperiksaan SPM Sains dan Matematik dalam dwi bahasa sehingga 2015
Strategi Meningkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris
Untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris beberapa strategi telah di kenalpasti. Antaranya ialah;
  1. Menyediakan guru BI yang mencukupi menerusi pengambilan guru bersara, guru dari luar negara dan IPTS selain daripada pengambilan melalui IPGM dan IPTA
  2. Menyediakan guru BI di luar norma iaitu 2 orang guru bagi setiap kelas berenrolmen tinggi (contoh: melebihi 35 murid)
  3. Menyediakan bahan bacaan Bahasa Inggeris
  4. Memperkenalkan language arts dalam P&P Bahasa Inggeris
  5. Strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia
  6. P&P Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia di Tingkatan Satu hingga Lima di SMK dan SK manakala, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT
  7. Menambah waktu P&P Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT
  8. Menggunakan ICT dalam P&P Bahasa Malaysia
  9. Menyediakan bahan bacaan Bahasa Malaysia
  10. Memperkenalkan seni bahasa dalam P&P Bahasa Inggeris